Bebaskan Palestin!

Ahad, 31 Ogos 2008

Sejarah Lagu Negaraku | Berasal Dari Lagu Kebesaran Negeri Perak

Mengikut rekod terdapat dua sumber mengenai asal usul Lagu Kebangsaan sebelum lagu Negaraku ini dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Lagu tersebut merupakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan di samping itu juga lagu yang popular bernama Terang Bulan. Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini telah digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebesaran Negeri Perak pada tahun 1901 iaitu pada masa pertabalan Raja Edward VII di England.
Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah) menjadi Sultan Negeri Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916. Pada masa pertabalan Raja Edward VII pada tahun 1901, Sultan Idris telah berangkat ke England sebagai wakil Raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan tersebut. Apabila tiba di Pelabuhan Southampton, Pegawai Protokol dari pejabat koloni luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu kebesaran Negeri Perak. Adalah menjadi amalan di England pada masa itu bahawa apabila Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri tersebut dimainkan.
Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Raja Harun bin Sultan Abdullah, Setiausaha Sulit kepada Sultan adalah seorang ahli muzik. Beliau walaupun sedar bahawa Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri tidak mahu mengaku kalah. Beliau memberitahu Pegawai Protokol tersebut bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi not lagu tersebut tidak dibawa bersama. Namun begitu beliau menyatakan bahawa beliau boleh memainkan lagu tersebut tanpa not.
Setelah mendengar penerangan Raja Harun bin Sultan Abdullah maka Pegawai Protokol pun membenarkan beliau memainkan lagu tersebut tanpa not. Maka Raja Harun pun memainkan Lagu Kebesaran Negeri Perak tanpa not. Lagu tersebut sebenarnya ialah lagu Terang Bulan. Dengan itu berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada tahun 1901 buat pertama kali dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak. Dari saat itu lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak sehingga ia dijadikan Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia.
Satu lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun 1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur, juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut terlupa dibawa.
Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya dengan cara bersiul. Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan.
Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman. Mengikut dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.
Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku.

Tiada ulasan:

Statistik Pelawat Sejak Mei 2008

counter
Powered By Blogger
Sebarang maklumbalas,berita,komen atau aduan boleh disalurkan melalui e-mel kepada yeoptempoyak(ad)gmail(dot)com